Kisah Langit dan Bumi
Adapun terjadinya peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah kerana bumi merasa
bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih
baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai
negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan
lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana
matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan
syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan
untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin
(orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan
utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam,
seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling
sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di
tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit
mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah,
Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka
berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta
kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga
aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T
memberi wahyu kepada Jibril A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah
engkau (Jibril) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau
mencabut nyawa pada malam ini."
Jibril A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibril. Tetapi
pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad
dengan buraq itu."
Kemudian Jibril A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang
bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang
sedang menangis bercucuran air matanya. Jibril A.S. menghampiri buraq itu lalu
bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibril, sesungguhnya aku telah mendengar nama
Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan
aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum
lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibril A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang
engkau rindukan itu."
Kemudian Jibril A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan
membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Wallahua'lam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam
perjalanan Isra' dan Mi'raj.
Wallohu A’lam………………..
0 komentar:
Post a Comment